Saturday, January 1, 2022

Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT)



                                                                              



    
( Nur Jannah binti Mahazir)


Malaysia mengamalkan sistem Pendidikan berpusat yang menjadikan kurikulum yang dilaksanakan berupa kurikulum kebangsaan. Kurikulum  kebangsaan yang dibentuk berperanan luas sebagaimana dinyatakan oleh laporan Jawatan Kabinet (1979). Kefahaman terhadap  Dokumen Standard Kurikulum dan Pentaksiran (DSKP) adalah suatu perkara penting dalam membuat Rancangan Pelajaran Tahunan (RPT) dan Rancangan Pengajaran Harian (RPH). Kurikulum kebangsaan ialah satu program Pendidikan yang termasuk kurikulum dan ko-kurikulum. Ia merangkumi semua pengetahuan, kemahiran, unsur kebudayaan dan kepercayaan. Kurikulum kegangsaan ini dikenali sebagai kurikulum idea yang telah sempurna dibentuk oleh FPK, atau kurikulum rasmi setelah diterima untuk dilaksanakan secara menyeluruh di semua sekolah di Malaysia dan diseragamkan secara ‘top down’ kerana bidang Pendidikan formal di Malaysia terletak di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia. Kurikulum Kebangsaan juga adalah satu program Pendidikan yang termasuk kurikulum dan kegiatan kokurikulum yang merangkumi semua pengetahuan, kemahiran, norma, nilai, unsur kebudayaan dan kepercayaan yang membantu perkembangan seseorang murid dengan sepenuhnya dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani ke arah melahirakan warganegara yang cemerlang.  Penterjemahan dan Pentafsiran Kurikulum Kebangsaan merupakan satu siri proses yang melibatkan empat komponen berantai iaitu yang pertama tentang asas pertimbangan pembinaan kurikulum merangkumi pembangunan negara, perkembangan individu, teori pembelajaran, Falsafah Pendidikan Kebangsaan dan empat rukun Pendidikan UNESCO. Kemudian peningkatan pelaksanaan kurikulum merangkumi komponen mata pelajaran wajib ( teras, elektif, tambahan) dan program khas. Setersunya amalan kurikulm bilik darjah yang merangkumi strategi P&P dan penilaian (berterusan, secara berpusat, berasaskan sekolah). Selepas itu, hasil pelaksanaan kurikulum yang merangkumi pembangunan insan (individu) dan pembangunan negara.

 

 

 

ANALISIS HUBUNGANKAIT FALSAFAH PENDIDIKAN KEBANGSAAN, KURIKULUM KEBANGSAAN DAN PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN

(Nur Jannah binti Mahazir)

           Falsafah  Pendidikan  kebangsaan (FPK)  dahulunya  disebut  Falsafah Pendidikan Negara (FPN) merupakan dasar kepada Pendidikan di Malaysia. Hal ini bermakna semua aktiviti Pendidikan dan persekolahan di Malaysia mestilah selaras dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Pendidikan di Malaysia adalah suatu usaha berterusan ke arah lebih memperkembangkan potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani, berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan. Usaha ini adalah bagi melahirkan warganegara  Malaysia yang berilmu pengetahuan, berketerampilan, berakhlak mulia, bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri, serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran keluarga, masyarakat dan negara.

      Falsafah Pendidikan Kebangsaan   adalah satu Pendidikan  usaha berterusan, Pendidikan yang juga bermula dengan institusi rumah dan sekolah saling berkait. Ibu bapa dan guru amat berperanan penting. Hal ini kerana pendidikan untuk membentuk masyarakat yang harmoni, sejahtera dan Makmur serta penting ke arah menyumbang kepada kemakmuran negara. Ilmu yang menyeluruh, bersepadu dan seimbang. Seterusnya menekankan kepada standard kurikulum, pembelajaran dan prestasi. Pendidikan adalah sepanjang hayat dimana dapat mengembangkan potensi individu, meneroka, serta membina pengetahuan, keterampilan dan akhlak disamping dapat membina kesejahteraan diri dan bersedia untuk menjadi insan yang berjaya. Guru-guru juga mendidik secara berterusan dan menyeluruh seta seimbang dari segi jasmani, rohani, emosi dan intelek   bagi  mengembangkan potensi murid. Guru-guru juga adalah role model kepada murid, iaitu memberikan contoh yang terbaik agar dapat diikuti oleh murid. Oleh itu FPK amatlah mempunyai hubungkait terhadap kurikulum kebangsaan dan pengajaran dan pembelajaran.

                          


GAMBAR 1: Hubungkait antara Falsafah Pendidikan Kebangsaan, Kurikulum kebangsaan dan Pengajaran dan Pembelajaran

        Kurikulum kebangsaan ialah suatu program pendidikan yang termasuk kurikulum dan kegiatan kokurikulum yang merangkumi semua pengetahuan, kemahiran, norma, nilai, unsur kebudayaan dan kepercayaan untuk membantu perkembangan seseorang murid dengan sepenuhnya dari segi jasmani, rohani, mental dan emosi serta untuk menanam dan mempertingkatkan nilai moral yang diingini dan untuk menyampaikan pengetahuan. Di bawah Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK) terdapat dua kurikulum iaitu kurikulum rasmi dan kurikulum kebangsaan. Kurikulum rasmi atau kurikulum idea mengandungi ciri-ciri idea dari segi matlamat, pelaksanaan dan penilaian. Kurikulum tersebut kemudiannya diangkat sebagai kurikulum rasmi negara setelah diterima untuk dilaksanakan secara menyeluruh di semua sekolah di Malaysia bagi sekolah rendah dan sekolah menengah seperti KSSR dan KSSM.

       Hubungkait antara Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK) dengan kurikulum Kebangsaan dimana FPK merupakan asas kepada pembentukan kurikulum Pendidikan di Malaysia. Perkaitan antara falsafah dan kurikulum adalah dimana kurikulum merupakan terjemah falsafah Pendidikan, tanpa falsafah sesuatu kurikulum Pendidikan itu adalah tidak mempunyai asas. Hala tuju kurikulum adalah bergantung kepada falsafah Pendidikan. Di dalam FPK, terdapat kurikulum kebangsaan dimana  dipecahkan kepada tiga iaitu mengikut tahap Pendidikan di Malaysia. Pertama sekali kurikulum Standard Prasekolah Kebangsaan (KSPK). KSPK adalah satu reka bentuk kurikulum berasaskan standard dan berbentuk modular. KSPK diberikan kepada kanak-kanak yang berumur 4-6 tahun. Matlamatnya adalah bagi menyuburkan potensi pelajar (aspek perkembangan), menguasai kemahiran asas dan memupuk sikap positif sebagai persediaan (sekolah). Standard kandungan dan pengetahuan, kemahiran asas serta nilai dalam 6 Tunjang Pembelajaran seperti komunikasi, kerohanian, sikap dan nilai, kemanusiaan, sains dan teknologi, perkembangan fizikal dan estetika serta perkembangan keterampilan diri. Kaedah PdP (belajar melaui bermain) aktiviti yang boleh merangsang naluri ingin tahu, mengukuhkan koordinasi motor kasar dan halus. KSPK juga bagi menyuburkan potensi kanak-kanak dalam semua aspek perkembangan, menguasai kemahiran asas dan memupuk sikap positif sebagai persediaanke sekolah rendah. Melalui KSPK ini, kerajaan berhasrat dapat menghasilkan warganegara yang patriotik, menggunakan Bahasa Melayu yang betul, menggunakan Bahasa Inggeris sebagai Bahasa kedua. Seterusnya dapat mengamalkan nilai-nilai murni serta mempunyai kematangan emosi dan kemahiran. KSPK juga merupakan persediaan sosialisasi Pendidikan rendah.

       Tahap kedua pula iaitu Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) yang difokuskan kepada kanak-kanak yang berusia 7-12 tahun. Bermula tahun 2011, KSSR diperkenalkan dan mengisi proses transformasi oleh KPM bagi memastikan sistem pelajaran Malaysia standing piawaian antarabangsa. KSSR ialah satu reka bentuk kurikulum berasaskan standard dan berbentuk modular. Pendekatan modular yang diterapkan KSSR berupaya membantu guru melaksanakan pengajaran dan pembelajaran dengan lebih terancang agar murid dapat mencapai standard pembelajaran yang ditetapkan. KSSR adalah berpusatkan murid serta berorentasikan pembangunan manusiawi. Murid tahap 1 (Tahun 1-3) tiada peperiksaan dan perlu menduduki Ujian Penilaian Sekolah Rendah) pada tahun 6. Hasil KSSR adalah bagi melahirkan pelajar yang dapat menguasai kemahiran asas 4M dan melahirkan generasi cemerlang dari segi intelek, akal budinya dan kukuh jati diri.

       Tahap ketiga pula ialah Kurikulum Standard Sekolah Menengah (KSSM) bagi murid yang melanjutkan pelajaran peringkat menengah rendah iaitu tingkatan 1 hingga 3 dan menegah atas  bagi tingkatan 4 hingga 5. KSSM merupakan konsep Pendidikan berasaskan standard. Para pelajar perlu menduduki peperiksaan pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). KSSM dapat mempertingkatkan lagi perkembangan potensi individu secara menyeluruh dan seimbang dari segi intelek, rohani, emosi, jasmani dan sahsiah ke arah pembangunan insan secara seimbang dan harmoni. Kurikulum Standard Sekolah Menengah (KSSM) adalah digubal berdasarkan FPK serta dapat melahirkan insan yang berilmu, mahir, beraklak dan berbudi serta sanggup berbakti kepada keluarga, masyarakat dan negara. Kurikulum kebangsaan juga dikenali sebagai idea atau kurikulum rasmi yang telah sempurna dibentuk oleh Falsafah Pendidikan Kebangsaan yang mengandungi ciri-ciri idea dari segi matlamat, pelaksanaan dan penilaian. Kurikulum ini diangkat sebagai kurikulum rasmi negara Malaysia setelah diterima dan dilaksanakan terhadap sekolah-sekolah di seluruh Malaysia.

        Setersunya, selepas kurikulum kebangsaan diterima dalam kurikulum sekolah, maka ia dapat diselaraskan dengan segala rancangan Pendidikan yang dikendalikan oleh sekolah meliputi RPH dan RPT serta kokurikulum. Pengajaran ialah sesuatu  tugasan dan aktiviti yang  diusahakan  bersama  oleh   guru  dan muridnya. Pengajaran  ini adalah dirancangkan guru secara sisitematik dan teliti untuk melaksanakannya  dengan  kaedah dan teknik mengajar yang sesuai, membimbing, menggalak dan memotivasikan murid supaya mengambil inisiatif  untuk  belajar, demi  memperolehi  ilmu  pengetahuan  dan  menguasai  kemahiran  yang  diperlukan. Pembelajaran pula adalah  proses memperolehi ilmu pengetahuan atau kemahiran”.Mengikut Robert M. Gagne (1970) dalam The Condition of Learning, pembelajaran merupakan“perubahan tingkahlaku atau kebolehan seseorang yang dapat dikekalkan, tidak termasuk perubahanyang disebabkan proses pertumbuhan”. Mengikut Woolfolk (1980) dalam Educational Psychologi for Teachers, pembelajaran dilihat sebagai perubahan yang berlaku kepada seseorang dengan membentuk perkaitan yang baru atau sebagai potensi yang sanggup menghasilkan tindak balas yang baru. Pembelajaran juga merupakan satu proses yang berterusan dan dapat dijalankan secara formal dan tidak formal. Secara formal melaui sekolah seperti membaca, menulis dan mengira manakala Pendidikan tidak formal melalui rakan sebaya, keluarga, media massa dan  persekitaran. Oleh itu Kurikulum Kebangsaan berkait dengan pengajaran dan pembelajaran. Kurikulum kebangsaan telah menjadi teras kepada sistem Pendidikan di negara kita.

         Berdasarkan kurikulum kebangsaan ini, pihak sekolah akan membentuk kurikulum sekolah dimana segala perancangan Pendidikan yang dikendalikan oleh pihak sekolah untuk mencapai matlamat Pendidikan selaras dengan Hasrat Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Kurikulum Sekolah meliputi bahagian Rancangan Pelajaran Tahunan (RPT) dan Rancangan Pelajaran Harian (RPH) serta segala kegiatan pengajaran dan pembelajaran di bilik darjah. Setersunya, kurikulum sekolah juga meliputi bahagian kegiatan bilik darjah iaitu kokurikulum seperti kegiatan sukan, persatuan, pasukan pakaian seragam dan lain-lain. melalui RPT dan RPH, setiap guru di sekolah boleh merangka sesi pengajaran dan pembelajaran yang meliputi kesemua aspek yang dituntut dalam FPK demi memastikan murid-murid menerima pembelajaran secara menyeluruh dan bersepadu. Bahagian yang meliputi kegiatan Pendidikan luar bilik darjah (kokurikulum) seperti kegiatan sukan, persatuan, pasukan pakaian seragam dan lain-lain.

        Seterusnya, kurikulum sebenar seperti kurikulum formal dan kurikulum tidak formal yang dioperasikan pada peringkat bilik darjah. Dokumen standard kurikulm & pentaksiran pula adalah merupakan dokumen rasmi tentang pelaksanaan Pendidikan yang mengintegrasikan kurikulum, pembelajaran dan pentaksiran yang dikeluarkan oleh bahagian Pembangunan Kurikulum, Kementerian Pendidikan Malaysia. Bertujuan bagi membantu memudahkan guru mengatur kandungan, proses pengajaran dan pembelajaran serta melaksanakan pentaksiran. Standard kandungan pula terbahagi kepada dua iaitu standard pembelajaran dan standard prestasi. Standard pembelajaran merupakan satu pemetaan kriteria dan indikator kualiti pembelajaran  dan pencapaian yang boleh diukur bagi setiap standard kandungan. Manakala standard prestasi merupakan satu set kriteria umum yang menunjukkan tahap-tahap penguasaan murid sebagai petunjuk bahawa sesuatu perkara telah dikuasai.

        Pihak sekolah perlulah memainkan peranan yang penting dalam mengaplikasikan kurikulum kebangsaan dalam kurikulum sekolah. Misalnya guru boleh mengenalpasti kebolehan dan kemampuan murid bagi memilih aktiviti yang bersesuaian dalam pembelajaran dan pengajaran. Selain itu, guru juga perlulah memastikan murid mendapatkan  hasil pembelajaran optimum dalam pembelajaran dan pengajaran,  pihak sekolah haruslah mengikut standard kandungan dalam kurikulum kebangsaan bagi membantu murid melalui proses pdp dan guru-guru boleh juga merangka sesi pengajaran dan pembelajaran meliputi aspek yang dituntut dalam FPK.

 

 

DOMAIN OBJEKTIF KOGNITIF DAN KEMAHIRAN BERFIKIR ARAS TINGGI (KBAT) SEBAGAI PENENTU PENCAPAIAN MURID.

(Anis Nuraishah Binti Anuai @ Anuar)

Menurut Zaini Abdullah (2021), kurikulum rasmi turut dikenali sebagai kurikulum kebangsaan atau kurikulum ideal. Kurikulum rasmi mengandungi ciri-ciri ideal dari segi matlamat, pelaksanaan dan penilaian. Bukan itu sahaja, kurikulum ini merupakan kurikulum yang diwartakan dan dilaksanakan secara seragam di seluruh negara dan juga turut mencakupi kurikulum kebangsaan dan kurikulum sekolah. Kementerian Pelajaran Malaysia adalah badan yang bertanggungjawab meluluskan dan mentadbir urus kurikulum rasmi ini. Kurikulum tersebut kemudiannya diangkat sebagai kurikulum rasmi negara setelah diterima untuk dilaksanakan secara menyeluruh di semua sekolah di Malaysia bagi sekolah rendah dan sekolah menengah seperti Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) dan Kurikulum Standard Sekolah Menengah (KSSM). Pada masa kini, kurikulum ini amat penting dalam menentukan pencapaian murid pada zaman sekarang. Domain objektif kognitif dalam penetapan matlamat dan objektif kurikulum melibatkan komponen pengetahuan  dan perkembangan intelek termasuk mengenal, mengingat fakta, prosedur dan konsep yang terkandung dalam kebolehan intelek. Untuk pengetahuan, domain ini mengandungi enam kategori aras bermula daripada tingkat paling mudah kepada tingkat yang lebih sukar. Kategori ini wujud tidak lain dan tidak bukan sebagai penentu iaitu sesuatu perkara tersebut haruslah dikuasai terlebih dahulu sebelum perkara tersebut berlaku.

Seterusnya, setiap aras yang dinyatakan terdapat dua elemen yang amat penting bagi menjayakan sesuatu matlamat pembelajaran. Pertama ialah aras rendah. Dua komponen yang terdapat pada aras rendah ialah pengetahuan dan kefahaman. Daripada segi pengetahuan, pelajar perlu mendapatkan kembali, mengeluarkan kembali dan mengingat semula atau dalam bahasa mudahnya ialah “recall” pegetahuan yang relevan daripada ingatan jangka panjang. Daripada segi kefahaman pula, pelajar itu sendiri mampu membina makna daripada maklumat lisan, tulisan dan grafik melalui menginterpretasi, memberikan contoh, mengklasifikasikan, membuat ringkasan, membuat inferens, membanding dan menjelaskan.

 Kedua ialah aras sederhana. Dalam aras ini, terdapat dua komponen yang menjadi tali ukur pencapaian murid iaitu aplikasi dan analisis. Aplikasi ini bertujuan untuk menentukan kebolehan menggunakan prinsip dan prosedur untuk melakukan atau melaksanakan sesuatu perkara. Berbanding dengan analisis , komponen ini merujuk kepada kebolehan pelajar untuk memecahkan bahan kepada bahagian kecil, menentukan bagaimana bahagian-bahagian kecil berkait antara satu sama lain dan terhadap struktur atau kegunaan umum melalui perbandingan, menyusun atur dan attributing. Ketiga dan yang terakhir ialah aras tinggi yang melibatkan dua komponen iaitu penilaian dan reka cipta. Daripada segi penilaian, pelajar mestilah mampu membuat penghakiman berdasarkan kriteria dan piawaian melalui semakan dan kritikan. Sementara itu daripada segi reka cipta pula, pelajar haruslah mampu menyatukan elemen-elemen untuk membentuk satu gagasan umum yang koheran atau berfungsi menyusun atur elemen ke bentuk atau struktur baru melalui penjanaan, perancangan dan penghasilan.

Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT) merupakan keupayaan untuk mengaplikasikan pengetahuan, kemahiran dan nilai dalam membuat penaakulan dan refleksi bagi menyelesaikan masalah, membuat keputusan, berinovasi dan berupaya mencipta sesuatu. Antara salah satu maslahat kewujudan KBAT dalam dunia pendidikan ialah dapat menghasilkan modal insan yang cerdas, kreatif dan inovatif bagi memenuhi cabaran abad ke-21 agar negara mempu bersaing di persada dunia. Terdapat empat elemen yang difokuskan dalam KBAT. Pertama, mengaplikasi. Mengaplikasi ini merujuk kepada kebolehan kognitif yang menggunakan prinsip dan generalisasi tentang sesuatu terhadap suatu masalah atau situasi baharu. Kedua, menilai. Menilai melibatkan aktiviti membuat pertimbangan berdasarkan kriteria dan standard melalui pemeriksaan dan kritikan. Ketiga, menganalisis. Analisis merupakan komponen yang menlibatkan aktiviti mencerakin atau menstruktur maklumat kepada bahagian yang lebih kecil dan berfungsi bagaimana menentukan bahagian struktur keseluruhan atau matlamat berkaitan antara satu sama lain. Keempat ialah mencipta. Kemahiran mencipta ini menyatukan elemen untuk membentuk sesuatu, menyusun, menjana, merancang atau menghasilkan semua elemen kepada corak atau struktur yang baharu.

KBAT ini berfungsi sebagai penentu pencapaian murid-murid kerana kewujudan KBAT ini mampu mengasah pemikiran murid-murid. Sebagai guru, guru dapat menentukan sendiri sama ada murid tersebut telah menguasai sesuatu topik itu dengan lancar mahupun tidak. Cara untuk mengetahuinya ialah guru perlu memberikan beberapa soalan secara random kepada murid-murid dan lihat sejauhmanakan kemampuan murid tersebut menjawab soalan yang diberikan. Jika dibandingkan dengan kaedah pembelajaran yang lama, kaedah ini jauh lebih efektif kerana KBAT ini memerlukan murid itu sendiri berfikir cara untuk menyelesaikan masalah. Jika menggunakan kaedah lama, kebarangkalian murid untuk tidak memahami sesuatu perkara itu agak besar kerana di dalam kelas pelajar hanya mendengar ilmu yang disampaikan daripada guru kemudian pelajar akan diberi latihan. Jadi, guru tidak dapat mengenalpasti sama ada seseorang murid itu menguasai sesuatu topik itu ataupun tidak. KBAT ini sangat wajar dilakukan di sekolah-sekolah kerana ianya akan lebih nampak keberhasilannya walaupun kaedah KBAT ini akan memakan masa lebih lama berbanding kaedah pembelajaran versi lama. Oleh itu, jelaslah bahawa KBAT ini mampu menentukan pencapaian murid-murid.

KEPENTINGAN MERANCANG PENGAJARAN SEBAGAI PENENTU KEBERHASILAN        GURU DAN KEMENJADIAN MURID.

(Mohd Sualleh Bin Umar)

Dalam memercu pendidikan yang lebih bersifat global pada masa ini, pembangunan modal insan bertaraf dunia merupakan prasyarat untuk membawa Malaysia bersama-sama bersaing dengan negara maju yang lain untuk menghasilkan generasi muda yang berfikiran kreatif. Oleh itu, insan yang berperanan untuk menjadi role model kepada generasi muda selain ibu bapa mereka adalah guru. Guru merupakan golongan yang utama bagi pembentukan akhlak selain ibu bapa (Zaharah 2005). Hal ini dikatakan demikan kerana, guru merupakan insan yang paling dekat dengan murid selepas ibu bapa mereka. Menurut Noor Jamaluddin (1978) guru merupakan pendidik, iaitu orang dewasa yang bertanggungjawab memberi bimbingan atau bantuan kepada anak didik dalam perkembangan jasmani dan rohani. Manakala pelajar atau murid pula merupakan orang-orang yang ikut serta dalam proses belajar. Menurut Nasution (2009), belajar merupakan kegiatan dan menambah sejumlah ilmu dan pengetahuan, sedangkan pelajar adalah pelakunya. Pelajar merupakan aset yang penting untuk sesebuah negara. Pelajar merupakan generasi yang penting dalam memajukan negara untuk dapat bersaing dengan negara-negara maju yang lain.

Oleh hal yang demikan, untuk melahirkan pelajar atau murid yang akan menjadi pemimpin negara haruslah menerima didikan daripada seorang guru yang mempunyai akhlak terpuji. Dengan demikian, murid akan mencontohi guru kerana guru merupakan seorang model insan yang terbaik kepada murid-muridnya. Dengan kata lain, guru merupakan contoh yang terdekat yang akan dikuti oleh murid-muridnya. Untuk menjadi seorang guru yang menghasilkan kemenjadian kepada seorang murid, guru tersebut haruslah mempunyai perancangan sebelum mengajar agar murid lebih mudah memahami ilmu yang telah disampaikan dan diajarkan kepada mereka. Rancangan bermaksud rangka atau pelan kerja yang perlu disediakan oleh guru sebelum memulakan sesi pengajaran dan pembelajaran. Hal ini demikian kerana, seorang guru itu haruslah mengajar mengikut Sukatan Pelajaran atau Dokumen Standard Kurikulum dan Pentaksiran yang diluluskan oleh Menteri Pendidikan Malaysia. Kemenjadian murid pula bermaksud perihal murid dalam bidang akademik, kokurikulum serta pembangunan sahsia yang membawa kejayaan kepada sesebuah sekolah dalam menghasilkan pendidikan yang berkualiti.

Pengajaran sistematik merupakan salah satu kepentingan merancang pengajaran sebagai penentu keberhasilan guru dan kemenjadian murid. Menurut Noraini & Shuki (2009), pengajaran sistematik meliputi kaedah, strategi, dan pendekatan yang digunakan untuk menyampaikan isi kandungan mata pelajaran yang terdapat dalam kurikulum. Hal ini dikatakan demikian kerana, pengajaran sistematik berkaitan dengan bagaimana seseorang guru menyampaikan ilmu dengan menggunakan pendekatan yang sesuai kepada muridnya. Aktiviti pengajaran murid bukan sahaja berlaku di dalam bilik darjah bahkan juga berlaku secara tidak formal di luar bilik darjah. Selain itu, pengajaran sistematik ini penting untuk membimbing dan memotivasikan murid supaya lebih berinisiatif untuk belajar dan juga dapat menguasai pengetahuan serta kemahiran baharu (Cohen 1988).

Di samping itu, kepentingan merancang pengajaran sebagai penentu keberhasilan guru dan kemenjadian murid adalah fokus terhadap objektif pengajaran. Apa yang dimaksudkan dengan objektif pengajaran? Menurut Robert Glaser (1962) objektif pengajaran ialah perlakuan yang hendak dicapai murid setelah mengikuti sesuatu pengajaran. Hal ini merupakan pernyataan tentang perlakuan murid yang dapat diperhatikan dan dapat diukur setelah langkah pengajaran dijalankan. Pernyataan yang jelas tentang perlakuan murid yang hendak dicapai membolehkan guru merancang langkah-langkah pengajaran dan membuat penilaian ke atas kebersanan pengajarannya. Manakla fokus terhadap objektif pengajaran ialah guru dapat menumpukan kepada objektif pengajaran yang telah ditetapkan dalam sesebuah perancangan. Hal ini bertujuan untuk memastikan murid dapat memahami dan menguasai subjek atau topik yang telah diajarkan dalam jangka masa yang ditetapkan. Objektif pengajaran yang difokuskan juga dapat membantu guru mengelak daripada mengajar luar daripada objektif yang telah ditetapkan kepada murid. Dengan demikian, proses pembelajaran murid dan pengajaran guru akan menjadi lebih mudah dan berkesan kepada muridnya.

Akhir sekali, pembelajaran teratur juga merupakan salah satu kepentingan merancang pengajaran sebagai penentu keberhasilan guru dan kemenjadian murid. Dalam aspek psikologi pembelajaran di dalam konteks menguji kefahaman pelajar, Hay McBer (2004) di dalam kajiannya mengenai kemahiran mengajar merumuskan bahawa seorang guru yang efektif sering menyoal murid untuk memastikan murid memahami terhadap pengajarannya sehingga tamat sesi pembelajaran. Dengan melakukan soal jawab di bilik darjah guru dapat mengesan sejauh mana kefahaman murid terhadap pengajarannya dan seterusnya maklumat tersebut akan dianalisis untuk memperbaiki lagi pengajarannya di dalam menghasilkan sesi pembelajaran yang berkesan. Cara tersebut dapat membantu sesi pembelajaran murid secara teratur. Tambahan lagi, pembelajaran yang teratur dapat membolehkan seorang guru itu memainkan peranannya dengan lebih efektif dan mampu menangani pelbagai masalah yang dihadapi. Jika pembelajaran murid itu teratur, hal ini akan menyebabkan guru tersebut tidak dapat menguasai dan menyampaikan pengajarannya dengan baik dan memuaskan serta akan menggangu kefahaman murid untuk memahami topik atau subjek yang dipelajari ( Abd Rahim 1999).


KEPENTINGAN DAN PELAKSANAAN REFLEKSI DALAM PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN.

(Nadhirah Faqihah Binti Ab Aziz)

Refleksi merupakan suatu proses yang amat penting dalam proses pengajaran dan pembelajaran bagi meningkatkan kemajuan profesion keguruan serta melahirkan pelajar yang cemerlang bukan hanya dari segi akademik tetapi juga sahsiah diri. Refleksi boleh ditakrifkan sebagai pengalaman dalam minda apabila menggunakan pengetahuan teori yang berubah menjadi aplikasi praktikal (Donald Schon, 1983). Manakala, menurut Hanipah (2004), refleksi merupakan satu ulasan terhadap amalan seseorang untuk memastikan ketepatan dan keakurannya kepada satu-satu peraturan yang telah ditentukan. Dalam kata lain, refleksi merupakan proses dimana seseorang mengimbau kembali pengalaman yang lepas untuk membuat penilaian terhadap pengalaman tersebut bagi memperbaiki diri. Refleksi ini merupakan suatu pemikiran yang digunakan untuk menghadapi situasi bermasalah (Dewey, 1933). Setiap individu akan melalui proses aktif dengan memikirkan masalah yang dihadapi secara refleksi dan cuba untuk memperbaiki masalah tersebut. Menurut Dewey (1933) refleksi didefinisikan sebagai “active, persistent, and careful consideration of any belief or supposed form of knowledge in the light of the ground that support it and the further conclusions to which it tends”. Dengan erti kata yang lain, seseorang itu boleh mengubah keadaan konflik dan gangguan yang dialami kepada keadaan yang nyata, tenang dan juga harmonis. Apabila kita berhadapan dengan masalah yang berlainan dari kebiasaan, kita akan mula berfikir secara reflektif untuk mencari penyelesaiannya. Melalui cara itu, idea-idea untuk menyelesaikan masalah tersebut akan diperolehi. Dalam konteks perguruan, kebolehan membuat transformasi dan refleksi amat penting kerana proses ini membolehkan guru sentiasa mempelajari dan memahami seuatu yang baru hasil daripada apa yang telah dilaluinya (Shulman, 1987). Selain itu, refleksi juga memberi peluang kepada guru untuk menganalisis diri serta menyedari tentang kekuatan dan kelemahan diri mereka (Bolin, 1988). Kesannya, seorang guru akan dapat memperbaiki proses pengajaran dan pembelajaran dengan lebih efektif.

Pelaksanaan refleksi dalam proses pengajaran dan pembelajaran amat penting untuk dilakukan oleh setiap guru. Terdapat pelbagai pelaksaan refleksi yang diberikan mengikut pandangan tokoh. Pelaksaan refleksi yang dihuraikan adalah menurut Kiss T. (2016). Menurut Kiss T. (2016), terdapat enam tahap pelaksanaan proses refleksi (Rajah 1). Tahap yang pertama adalah tahap pemahaman. Individu yang bergelar guru perlu memahami konsep-konsep pedagogi atau teori yang baharu agar dapat digunakan di dalam bilik darjah. Hal ini dikatakan demikian kerana, melalui cara ini proses pengajaran dan pembelajaran tidak menjadi bosan serta dapat menarik minat pelajar untuk mengikutinya. Guru akan mempunyai pelbagai cara yang boleh digunakan agar ilmu yang disampaikan mudah difahami oleh para pelajar. Contohya, guru perlu memahami teknik-teknik dan kaedah kumpulan koperatif sebagai satu strategi dalam menyampaikan ilmu. Seterusnya adalah tahap transformasi. Dalam tahap ini seorang guru perlu menetapkan sesuatu konsep atau prinsip untuk dilaksanakan semasa proses pengajaran dan pembelajaran. Guru boleh menyediakan rancangan pengajaran harian dengan menjelaskan langkah-langkah kaedah koperatif atau mengikut objektif yang telah ditetapkan. Melalui cara ini proses pengajaran akan lebih teratur dan mudah untuk mencapai objektif yang telah ditetapkan sebelumnya. Selanjutnya adalah tahap pelaksanaan. Tahap pelaksanaan merupakan tahap dimana guru perlu melaksanakan pengajaran dengan melaksanakan langkah-langkah dan prosedur yang telah dilakukan dalam tahap transformasi. Guru-guru akan melaksanakan langkah yang telah dirancang agar pengajaran dan pembelajaran lebih teratur dan arahan yang diberikan akan jelas difahami oleh pelajar. Tahap seterusnya adalah tahap penilaian. Di tahap ini guru perlu menilai pelaksanaan strategi yang dilakukan secara kaedah koperatif langkah agar dapat mengingati kembali proses pengajaran yang disampaikan dan respon pelajar di dalam kelas. Bagi menyenangkan untuk guru membuat penilaian, mereka boleh mencatat di dalam jurnal mengenai prosedur-prosedur yang diambil semasa proses pengajaran dan pembelajaran serta membuat rakaman video bagi melihat sambutan yang diberikan oleh para pelajar. Melalui catatan serta rakaman tersebut, guru boleh melihat kembali proses pengajaran dan pembelajaran agar dapat menilai pencapai setiap langkah yang dilaksanakan. Selanjutnya adalah tahap refleksi. Tahap ini membolehkan seorang guru untuk mempersoalkan diri mereka tentang pengajaran yang dilaksanakan adakah berkesan ataupun sebaliknya. Guru boleh merujuk kembali catatan-catatan yang dilakukan bagi mengimbas kembali respon serta emosi yang ditunjukkan oleh para pelajar. Melalui tahap ini guru akan dapat menjana beberapa persoalan dan idea-idea mengenai aktiviti yang dijalankan adakah mendapat sambutan atau tidak oleh pelajarnya. Langkah terakhir adalah tahap pemahaman baharu. Dalam tahap ini, guru akan memperoleh pengertian yang baharu daripada pengajaran mereka yang lepas. Selepas sesi pengajaran selesai, guru akan menilai dan membuat kesimpulan mengenai implikasi untuk tindakan selanjutnya seperti membentuk satu pelan tindakan baharu. Melalui pengertian yang diperolehi, guru akan menerapkan pengetahuan tersebut dalam proses pengajaran dan pembelajaran seterusnya bagi mengatasi segala kelemahan yang timbul sebelum ini. Justeru itu, tahap pelaksanaan refleksi ini akan berulangan setiap kali selepas proses pengajaran dan pembelajaran berlaku. Kesannya, pelaksanaan refleksi dalam pengajaran dan pembeajaran akan dapat memantapkan profesion perguruan bagi menyampaikan ilmu pengetahuan kepada masyarakat.

 

 

Pendidikan bukan sahaja dapat mengubah diri seseorang tetapi dapat juga mengubah sesebuah negara menjadi lebih maju serta membangun. Oleh itu, pendidikan yang berkualiti tinggi perlu diberikan kepada pelajar melalui penyampaian seorang guru dengan berkesan. Bagi memastikan penyampaian guru adalah berkesan, pihak sekolah perlu membentuk kurikulum sekolah dimana segala perancangan pendidikan yang dikendalikan oleh pihak sekolah untuk mencapai matlamat pendidikan selaras dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK) berdasarkan Kurikulum Kebangsaan. Kurikulum kebangsaan merupakan teras kepada sistem pendidikan di negara Malaysia. Pelaksanaan perancangan pengajaran dan pembelajaran yang sempurna dalam sistem pendidikan akan mampu untuk melahirkan warganegara Malaysia yang berintegriti dan mempunyai sahsiah diri. Kesannya, kaedah ini akan dapat melahirkan modal insan yang seimbang serta harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan juga jasmani. Ini menunjukkan bahawa pentingnya perancangan pendidikan mengikut Kurikulum Kebangsaan bagi memastikan setiap anak bangsa menerima pendidikan sewajarnya. Justeru itu, diharapkan agar implementasi Kurikulum Kebangsaan akan dapat memberi kesan yang positif kepada seluruh sekolah di Malaysia bagi merangka kurikulum sekolah secara menyeluruh. 



Bolin Frances S. (1988). Helping student teachers think about teaching. Journal of Teacher Education, 39(2), 6-16.

Dewey J. (1933). How we think: A restatement of the relation of reflective thinking to educative process. Boston. D.C. Heath and Company.

Donald A. Schon. (1983). The Reflective Practitioner: How professionals think in action. American Journal of Sociology, 153(4), 76-104.

Hanipah Hussin. (2004). Learning to be reflective: From theory to practice Malaysia experiences. Tanjung Malim: Universiti Pendidikan Sultan Idris.

HC Manalu, S Silaban, W Hutabarat (2018), Advances in Social Science. Journal of Education and Humanities Research 200, 352-356.

James C Pauley (2017), Liturgical Catechesis in the 21st Century : A School of Discipleship : Journal of Liturgy Training Publication.

Kiss T. (2016). Schoolbased teacher learning: A reflective approach. Journal of Nusantara Studies, 1(2), 50-62.

Lynn S Fuchs, Douglas Fuchs, Norris Phillips (1994), The Relation Between Teacher’s Beliefs About The Importance Of Good Student Work Habits, Teacher Planning, And Student Achievement : The Elementary School Journal 94 (3), 331-345.

Mohd Izham Mohd Hamzah (2020), Hubungan Kemenjadian Murid Dalam Proses  Pembelajaran Dan Pemudahcaraan (PdPc) Guru : Jurnal Dunia Pendidikan 2  (1), 171-179.

Musa, N.B (n.d). Kurikulum Kebangsaan. KPM – Utama. https://www.moe.gov.my/index.php/dasarmenu/kurkulum-kebangsaan

Robert J Yinger (1980), A Study Of Teacher Planning : The Elementary School Journal 80 (3), 107-127.

Shulman L. S. (1987). Knowledge and teaching: Foundations of the new reform. Harvard Educational Review, 57(1), 1-22.

Steffy E. Betty. (2000). A life cycle of the career teachers. Thousand Okas, CA. Corwin Press

Yayan Eryk Setiawan (2020), Analisis Faktor-faktor Pendukung Keberhasilan Pelaksanaan Pelatihan Terhadap Guru : Konferensi Nasional Pengabdian Masyarakat (KOPEMAS).

Zaini Abdullah. (2021). Modul Perkembangan Pendidikan Di Malaysia : Falsafah Dan Dasar. Perak : Penerbitan UPSI. 



No comments:

Post a Comment

Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT)

                                                                                    ( Nur Jannah binti Mahazir) Malaysia mengamalkan sistem ...